Saturday, December 16, 2006

Tanjung Batu, Balai Karimun


Pemandangan Waktu Mentari Terbit


Rumah Atas Air Milik Cik Mun Dan Pak Rabu

Alhamdullillah, aku dan keluarga telah selamat sampai ke Singapura membawa kenangan indah sewaktu kami di sana. Walaupun selama 3 hari dua malam, banyak yang dapat aku raih dan belajar tentang kehidupan. Aku amat bersyukur kerana kita di Singapura ni hidup aman dan makmur. Dulu pergi holiday, tinggal di hotel mewah, makan dan shopping tetapi permergianku kali ini membuka minda terhadap kehidupan manusia yang kais pagi makan pagi kais petang makan petang.

Aku pergi membawa saudaraku yang mempunyai rumah di Tanjung Batu kecil di Balai, karimun. Aku menaja beliau suami isteri ke sana. Maklumlah nak menetap di rumah. Dari Harbour Front, kami menaiki feri, Penguin, ke Balai Karimun. Perjalanan memakan masa 1 setengah jam. Tiada apa yang menarik. Cuaca baik. Kami tiba di Karimun tanpa masalah di imigrasi. Maklumlah Cik Mun dan Cik Rabu sudah biasa ke sana. Pak Din, (tukang urut suamiku yang tinggal di Tanjung Batu) melambai-lambaikan tangannya tatkala melihat kami. Cukup senang hati ini bila ada orang yang menyambut kedatangan kami di tempat yang asing. Maklumlah pertama kali hendak masuk kampung orang ni. Imigrasi di Indonesia, seram juga tetapi Alhamdulillah kerana connection dengan mereka maka senanglah hidup kami. Aku dapat tahu juga Pak Din ni bukan calang-calang orang. Beliau adalah wakil rakyat bagi daerah Tanjung Batu Kecil. Kalau di Malaysia, YB (yang berhormat).

Dari situ kami harus menaiki bot laju. Yang mengerikan ialah apabila hendak turun jeti, tangga kayu saja. Teringat kalau bawa emak, tentu masalah. Takut juga nak turun tetapi aku kuatkan semangat. Sepatu yang kupakai takut terlepas jatuh ke laut. Alhamdullillah selamat. Anak-anak tidak pun menunjukkan rasa takut. Bangga juga aku melihat mereka. Hendak pergi ke bot laju harus menaiki sampan kecil dalam 1 meter jauhnya. Bayar 1000 rupiah seorang. Hai, beginilah orang sana nak hidup. Bot laju bayarannya 10 000 rupiah seorang ($2).

Kurang setengah jam, kami sampai di jetty rumah Cik Mun. Ketika itu air surut, oleh itu naik tangga tinggi sedikit. Sama juga, tangga kayu. Ngeri lagi. Sesampai kami di situ, kami disambut oleh keluarga Pak Din. Tak lama menyesuaikan diri di rumah atas air yang 'cute' itu, datang anak buah Pak Din dengan membawa 6 biji kelapa muda. Wow! Memang aku tunggu saat ni. Bayangkan minum air kelapa di jetty. Minum straight from the coconut, tak pakai straw tak pakai cawan. Walaupun kelapa agak tua sedikit, namun pengalaman tu yang gerek. Lepas itu, kami buang kelapa di laut. Hai, kita orang Singapura memang kekok hendak buang sampah sebarangan tetapi begitulah kehidupan di situ. Sampah buang saja ke laut. Mula-mula rasa bersalah dan kekok tetapi lama-lama okay walaupun masih juga rasa bersalah. Apa nak buat memang tidak ada tong sampah. Buang air pun dibuang ke laut.

Tentu semua nak tahu macam mana soal tandas ni. Nasib baik, rumah Cik Mun canggih. Tandasnya tiada beza macam kita di Singapura. Dia membuat saluran najis hingga ke laut. Jadi tidaklah segan bila hendak buang air besar. Kalau dulu di Pulau Seking, boleh dengar ketulan-ketulan najis jatuh ke dalam air. (sori tak sensored) Mintak ampun punya malu...

Keluarga besar Pak Din memang peramah. Cik Mun telah beli barangan untuk dimasak. Anak saudara Pak Din Eli, menjadi tukang masak kami di sana. Memang sedap masakannya. Anaknya Keflin (canggih nama), 2 tahun, sibuk melayan anak-anakku yang bertiga tu. Petah betul di berbual, cute ada loghat orang pulau.

Kami makan roti perancis bersama lauk dalca yang dimasak Cik Mun di Singapura. Sedap. Malam kami makan nasi berlaukkan sambal tumis ikan bilis, sayur kacang dan fishball masak air, tempah goreng sambal dan telor dada. Air teh susu menemani kami sewaktu borak-borak di berandah. Waktu malam angin bertiup kencang macam hendak hujan ribut tetapi nasib baik angin hilang, baru hujan tiba. Sejuk saja malam tu. Tapi sayang tak dapat kami duduk-duduk di jetty. Anak-anak dah plan nak memancing kononnya di jetty tu. Tak kesampaian hajat mereka.

Sumber eletrik rumah itu daripada sebuah generator. Bising bunyinya. Hanya lewat malam baru ditutup. Setelah itu kami berbual dengan bertemankan lampun minyak tanah yang dipanggil lanting. Pada saat itulah, dapatku rasakan keindahan alam semuajadi di kampung atas air. Pemandangan tak lah happening sebab gelap gelita. Tapi desiran ombak memukul batang-batang nibung yang dibuat sebagai kaki rumah kedengaran indah sekali. Sunyi alam sekeliling sungguh syahdu. Terpukau aku sejenak. Jauh di pulau hadapan kelihatan cahaya lampu yang samar-samar di tengah-tengah kepekatan malam. Bulan tidak kelihatan. Aku dan keluarga tidur di berandah yang agak terkepung. Sekali-sekali tanganku digigit nyamuk.

Waktu pagi, aku dikejutkan oleh kokokan si ayam jantan. Sahut-menyahut memanggil sang mentari timbul. Tak payahlah gunakan alarm clock. Namun aku tertidur kembali. Aku terjaga semlual apabila terdengar kokokan si ayam jantan dan bunyi periuk kelentang-keluntung. Dah bangun tuan rumah untuk siapkan sarapan. Bersalah juga kalau aku sibuk melayan tidur. Aku bingkas bangun dan mengejutkan anak-anak. Kami bersarapan nasi goreng cili padi. Anak-anak tak boleh makan sebab mintak ampun pedasnya.

Di situ tidak ada heater. Bagi kita yang sentiasa mandi air hangat ni kalau kena mandi air sejuk, mintak ampun punya ngeri. Tapi selepas simbahan yang pertama dan kedua, naik seronok juga. Segar sekali rasa badan. Air pula air tadahan air hujan semalam. Anak-anak terjerit-jerit kesejukan tetapi mereka ketawa terkekeh-kekeh kerena seronok juga barang kali. Kalau open air lagi best. Dapat rasa mandi di bawah langit terbentang luas. Tapi mestilah berkemban, nanti lain cerita pula.


Lepas sarapan kami pergi hiking keliling pulau. Kami pergi rumah Pak Din di atas bukit. Duduk makan prata yang dibuat oleh Mak Yang, isteri Pak Din. Enak pratanya dimakan dengan lauk kurma udang. Air teh susunya lain sedikit rasanya tetapi sedap juga.(Balik beli serbuk tehnya di Balai) Selepas itu kami jalan pergi rumah adik dan abang Pak Din. Mereka hidup senang sedikit kerana ada niaga runcit kecil-kecilan. Rumah pula rumah batu. Pak Din, walaupun wakil rakyat diberi hanya 200 000 rupiah. Teringat dulu waktu datuk jadi Penghulu di Pulau Merlimau. Dengar-dengar dia diberi allowance tetapi masih susah kerana anak ramai dan hidup hanya sebagai nelayan. Begitu juga Pak Din tetapi rezekinya alhamdulillah kerana dapat buat sedikit duit di Singapura. Gaji seorang guru di situ lebih kurang 100 000 - 200 000 juta($200 - $400)sebulan mengikut pangkat mereka. Yang lain rata-rata hanya mendapat gaji $40 sebulan. Begitulah keadaan ekonomi negara itu.

Mereka yang tinggal di daerah Balai ini susah-susah belaka. Kita seolah-olah dibawa ke zaman sebelum arus pemodenan berlaku di Singapura. Di sebalik keriangan yang terpancar di muka mereka-mereka yang melayan kami dengan ramah mesra, terdedah kepadaku kisah hidup mereka yang susah. Ada yang tiada kerja, anak ramai, ada yang suami isteri tak bekerja, anak remaja yang berhenti sekolah dan melaram sahaja kerjanya, anak-anak yang telah berkeluarga tetapi masih meminta pertolongan ibu-bapa untuk menyara hidup mereka, perbalahan antara keluarga, laki yang curang dan lain-lain lagi. Nampaknya, masalahnya sama seperti kita di Singapura. Kita survive, mereka pun survive. Funny juga ya. Manusia ni memang dijadikan hidup di dunia ni untuk survive di dalam apapun keadaan. Kesabaranlah yang penting.

Kami ke sana sambil menyelam minum air. Dalam bercuti dapatlah juga buat amal jariah. Apabila nak pulang tu, kami berilah setiap seorang 50 000 rupiah. Sungguh besar hati mereka. Apalah $10 tu pada kita tetapi bagi sesetengah mereka sebulan gaji. Hai, insaf betullah! Seronok juga dapat memberi kepada yang betul-betul memerlukan.

Teringat barang-barang yang pernah dibuang dulu. Kalau hantar ke sana lagi baik.
Kalau ada peluang, hendak ke sana lagi.

No comments: