Saturday, August 9, 2008

Refleksi Hari Kebangsaan 2008 - 43rd Birthday


Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini terasa berlainan sedikit. Ketika menyanyikan lagu kebangsaan bersama keluarga besar Juying, aku dapat merasakan bulu romaku ternaik. Hari-hari nyanyikan lagu kebangsaan. Kenapa hari ini berlainan sedikit? Setelah aku meneliti diri, aku faham kini. Di dalam fikiranku terfikir tentang aku rakyat Singapura dan tinggal di Johore. Aku memang sudah tertarik dengan kehidupan di Johore dan rasanya tidak mahu tinggal di Singapura lagi. Namun aku tidak pernah berasa diri ini rakyat Malaysia atau Johore. Hati dan jiwaku masih Singaporean!!

Terfikir kekadang, adakah aku ni pembelot? Di mana rasa jati diriku sebagai anak watan Singapura?

Ketika bendera diangkat oleh pasukan pengakap dan pandu puteri dengan muzik yang berbaur patriotik, aku dapat rasakan kecintaanku terhadap negeri kelahiranku, Singapura. Sememangnya, benar kata pepatah, hujan emas negeri orang, hujan batu negeri sendiri, lebih baik negeri sendiri.

Tetapi sejauh manakah kita mampu menjunjung peribahasa ini di dalam kita meniti hidup seharian?

Padaku, aku bukan pembelot. Aku memang cinta dan sayangkan negara kelahiranku. Aku berbangga menjadi rakyat Singapura. Tetapi, bumi Allah ini luas. Rezeki kita tidak tertakluk pada negeri kelahiran kita sampai kita mati.

Memang wajar kalau setiap negeri menyambut Hari Kebangsaan masing-masing kerana ia penting bagi menimbulkan rasa cinta dan jati diri terhadap negeri kelahiran kita walaupun hanya satu hari. Ternyata kesan refleksi diriku pada waktu itu telah menimbulkan perasaan kecintaanku menjadi warga negera Singapura. Semoga Singapura sentiasa menuju kejayaan dan kecemerlangan.!!!

Menyampuk : Aku sedang menyaksi sambutan hari Kebangsaan di TV. Setiap tahun pergi tengok bunga api. Tahun ini bunga api pun dah tak hairan sebab dah puas rasanya melihat bunga api sewaktu Tahun Baru Cina di Johore.

2 comments:

Anonymous said...

wow, very special, i like it.

Anonymous said...

Well done for this wonderful blog.