SELAMAT HARI RAYA
Hari raya tahun ini aku beraya di Johor. Hari raya ini pertama kali aku beraya keluar Singapura. Apa rasanya? Tentulah berlainan sedikit tetapi oleh kerana ada Mak Mertuaku Sakina yang datang beraya dari Australia, tidaklah sepi sangat. Kalau dulu malam hari raya MESTI pergi rumah mak malam raya dan main bunga api dan tolong mak kemas rumah, balik rumah tengok hari raya show dan kemas rumah lagi, di sini aku telah siap semua lebih awal. Hari Isnin rumah dah siap cantik untuk terima tetamu. Malam raya aku dan Mak Mertuaku masak untuk keluarga yang akan datang beraya esok hari juga teman seperjuanganku yang sama-sama menetap di sini. Pagi hari raya beraya di rumah, lepas itu pergi rumah nenek saudara suami dan berlepas ke Singapura.
Waktu naik kereta tu, ketika lalu di depan stesen bas, terkenang saat-saat dulu di mana aku dan keluarga, jalan raya naik bas. Hai.. teringat masa-masa dulu yang leceh, panas, kaki sakit sebab pakai tumit tinggi nak cantik konon. Pergi satu rumah ke satu rumah, makan masa lama juga dalam perjalanan. Sekarang dah senang ada kereta. Tak payah susah-susah tunggu bas, turun bas naik bas. Tak sia-sia perasaan serik aku telah mendatangkan satu kebaikan pada kami sekeluarga. Bukan apa, tahun lepas, aku serik beraya sebab harus naik teksi dan satu hari tu aku harus keluarkan $70 hanya duit teksi. Sayang duit tu. Kalau beri sedekah lebih baik.
Kepada anak-anak murid yang dah tak boleh datang ke rumah cikgu lagi tahun ini, cikgu minta maaf kerana cikgu tinggal jauh di Johor. Kalau boleh datang, datanglah! Untuk tatapan semua cikgu ada menyelitkan rumah cikgu yang telah dihias ringkas. Rumah besar susah nak hias. Kalau rumah sendiri senang, tetapi rumah sewa ni leceh sedikit.
No comments:
Post a Comment