Tuesday, March 13, 2007

WAHAI SAHABAT

Sahabat. Apa makna sahabat?

Kamus Pelajar :

- orang yg dikenal rapat dan disukai tetapi tidak bersaudara dgnnya; kawan;
- karib, kawan yg rapat sekali.
- bersahabat berkenalan serta berbaik-baik; berkawan

Seperti apa yang tertera di kamus pelajar, sahabat adalah orang yang bukan saudara kita yang kita kenal dengan rapat dan yang penting ialah kita suka dan senang kepadanya.(kalau tidak sukakan dah tak kawan lagi. Ada yang jadi lawan pula.)

Adakah perbezaan di antara perkataan kawan, teman, sahabat dan kenalan? Kawan, teman dan sahabat adalah perkataan seerti iaitu sama makna. Kenalan hanyalah seseorang yang kita kenal atau tahu. Kita kenal Michael Jackson tetapi tidak semestinya Michael Jackson mengenali dan menjadi kawan kita.

Pada pendapat aku kawan, teman dan sahabat ini ada bezanya. Berdasarkan pengalaman aku yang sudah hidup 38 tahun ini, aku ingin berkongsi tentang makna perkataan-perkataan ini mengikut kacamata aku :

Kawan
Aku ada ramai kawan iaitu kenalan yang juga mengetahui diriku. Kawan sekolah, kawan di tempat kerja, kawan sewaktu modelling dulu, kawan di Sriwana dsbnya. Fikir-fikir ramai juga kawan aku. Tak pernah pulak nak kira. Tetapi berapa ramai di antara kawan-kawan ini yang masih berkomunikasi denganku? Tentu segelintir sahaja. Mereka yang dulu aku panggil kawan kini banyak yang hanya tinggal sebagai kenalan.

Adakah makna kawan berhenti di situ sahaja? Adakah sebagai sahabat kita harus sentiasa disenangi, disukai atau menyenangi dan menyukai? Adik-beradik pun selalu bergaduh, inikan pula sahabat. Bagaimana kalau kita tidak senang dengan perangai kawan kita tu?

Teman. Padaku darjah teman ini lebih daripada seorang kawan. Teman lebih adalah orang yang dekat dengan kita di mana kita banyak melakukan aktiviti sama-sama seperti teman seperjuangan, teman berjalan, teman berborak, teman berdebat, teman bershopping, dsbgnya. Tentunya aku senang dan menyukai teman-temanku kerana susah kalau tak suka. Macam mana nak buat kerja sama-sama. Tetapi kekadang, ada juga teman kita yang kita tak suka, seperti cara di berbual, cara dia berfikir dsbgnya. Kalau kita tak suka dengan mereka, kita selalu memberi helah untuk tidak berjumpa dengan mereka. Tetapi ia tidaklah berlanjutan. Biasanya kita akan memaafkan teman-teman kita dan melupakan saja.

Sahabat. Padaku darjah sabahat ini melebihi seorang kawan dan teman. Sahabat adalah orang yang bukan saudara kita sendiri, yang tahu buruk dan baik kita, tetapi masih menerima kita seadanya. Sahabat tidak pernah mengira, sentiasa ingin melihat kita berjaya, memaafkan kita dan berusaha agar kita sedar dari kesilapan kita dan tidak mudah sensitif. Ada orang kata sahabat dunia akhirat. Ini yang dikatakan platonic friendship agaknya. Wow, adake sahabat begini di dalam dunia ini?

Pengalamanku mengenai sahabat ini melalui banyak fasa. Seingat akulah, aku memang tidak ada sahabat. Namun ada juga kawan-kawanku dahulu yang mengaku sebagai sahabat aku tetapi menikam aku dari belakang. Mungkin kerana inilah, aku tidak percaya dengan sahabat. Sewaktu di Sriwana dulu pun aku tidak ada sahabat. Malangnya ketika aku faham erti persahabatan, aku telah kehilangan seorang yang bernama sahabat. Mungkin aku tidak pandai menghargai seorang sahabat. Aku tak tahulah. Kadang-kadang orang yang aku kenal dan mempunyai hubungan yang baik, tiba-tiba sahaja menjauhkan diri daripadaku. Aku macam kena sumpah tidak boleh dekat dengan orang. Sedih juga bila fikirkan. Terfikir-fikir apa yang aku dah buat atau cakap. Tak tahu di mana kesilapan. Yang sedihnya, orang-orang ini tidak memberitahu aku apa-apa. Pengecut. Kenapa aku harus hairan? Kalau mereka benar-benar kawan, takkanlah dengan mudah membuang sahabat? Sekarang aku jadi takut bila rapat dengan seseorang. Bukan takut apa, takut kalau terlalu dekat nanti jadi jauh. Ada orang yang apabila mendapati sahabat mereka melakukan kesalahan mereka terus jadi marah dan kecewa dan bersumpah tidak mahu dekat lagi. Kenapa manusia begini? Di mana sifat maaf-memaafkan? Atau mereka sebenarnya sudah lama mencari helah untuk menjauhkan diri tetapi tidak dapat melakukannya dan apabila timbul peluang, dengan cepat menggunakannya to justify thier action.

Namun pandanganku mula berubah setelah kehilangan seorang insan yang cuba menjadi sahabat karibku. Setelah kehilangannya baru aku sedar tentang keikhlasannya bersahabat denganku. Sudah terlewat. Kalau orang dah merajuk, susah. Namun sehingga kini aku masih mengharapkan persahabatan itu disambung semula kerana aku percaya aku mampu menjadi seorang sahabat karib kepadanya. Malangnya, dia semakin jauh.

Sekarang aku tidak mahu menafsirkan kenalanku sebagai kawan, teman atau sahabat. Aku ingin ikhlas berkawan. Kalau ada yang sudi menjadi sahabat karibku, kecil tapak tangan nyiru aku tadahkan. Tepuk sebelah tangan tidak berbunyi. It takes two to tango. Aku serahkan arah tuju perhubungan itu kepada Yang Maha Esa.

Namun aku bersyukur kerana aku kini sedar, dalam aku mencari seorang sahabat,sahabat karib yang aku impikan ternyata orang yang menikahiku sekarang. Dialah sahabat karib dunia akhirat. Dialah yang tahu kekuatanku dan menyokongku. Dialah yang tahu kelemahanku tetapi menerimaku seadanya. Dialah yang berkongsi suka duka hidupku. Dialah yang tidak akan menikamku dari belakang. Dialah yang tidak akan menghinaku walau aku dihina manusia semesta alam. Dialah orang yang kupandang sebelum aku menutupkan mataku tatkala tidur malam dan dialah orang yang kupandang tatkala aku membuka mata mengharungi hari mendatang. Aku redha dengan anugerahMu. Kenalan, kawan, teman dan sahabat...SUAMI